SEJARAH SK MARAS


SEJARAH SK MARAS

            Sekolah Kebangsaan Maras telah ditubuhkan pada tahun 1941.  Pelapor kepada penubuhan Sekolah Kebangsaan Maras terdiri daripada Tuan Haji Yusof, Kassim Ali, Awang Hitam dan Jusof Hamid.  Pada masa itu, Sekolah Kebangsaan Maras hanya mempunyai sebuah pondok yang diperbuat daripada atap sagu serta bertiang batang tembesu bulat.
            Pada masa itu, Sekolah Kebangsaan Maras hanya mempunyai seorang guru dan lima belas orang murid sahaja.  Pegawai yang mula-mula melawat sekolah ini ialah Tuan Race iaitu seorang Nazir Pejabat Pelajaran.  Kawasan asal Sekolah Kebangsaan Maras ialah di depan Masjid Kampung Maras.  Bangunan Sekolah Kebangsaan Maras didirikan secara bergotong-royong oleh penduduk Kampung Maras sendiri.
            Sekolah Kebangsaan Maras terpaksa ditutup pada tahun 1942 kerana Pihak Inggeris berperang dengan tentera Jepun ynag ingin menjajah Malaya.  Semasa penjajahan Jepun, pemerintahan Jepun telah membuka semula Sekolah Kebangsaan Maras.  Malangnya murid-murid yang belajar pada masa itu diajar dengan menggunakan Bahasa Jepun.  Tenaga pengajar yang mengajar pada ketika itu ialah seorang berbangsa Cina yang telah memeluk agama Islam.  Beliau bernama Long.
            Semasa peperangan Dunia ke-2 berlaku, sekali lagi Sekolah Kebangsaan Maras terpaksa ditutup.  Sekolah Kebangsaan Maras hanya dibuka semula  pada tahun 1945 oleh Cikgu Embong.  Sekolah Kebangsaan Maras telah berpindah ke tapak baru iaitu tapak yang ada sekarang pada tahun 1946.  Pada masa itu, bilangan pelajar hanya 90 orang dan tenaga pengajarnya hanya 3 orang.
            Penduduk-penduduk kampung terpaksa memaksa anak-anak mereka untuk ke sekolah.  Jawatan kuasa kampung terpaksa berkunjung dari sebuah rumah ke sebuah rumah untuk menggalakkan penduduk menghantar anak-anak mereka ke sekolah.  Pada masa itu, bekalan air dan elektrik belum digunakan lagi di Kampung Maras.
            Pada 14 Oktober 1994, Menteri Besar Terengganu iaitu Y.A.B Dato’ Seri Amar Di Raja Tan Sri Haji Wan Mokhtar Bin Ahmad S.S.M.T., P.S.M., S.P.M.T., D.A., D.P.M.J., K.M.N., J.P., P.J.K. telah merasmikan bangunan baru Sekolah Kebangsaan Maras.

            Sekarang Sekolah Kebangsaan Maras masih mempunyai bangunan lama iaitu dua buah bangunan kelas dan sebuah dewan.  Bangunan baru terdiri sebuah blok bangunan dua tingkat, sebuah blok bangunan tiga tingkat, sebuah makmal komputer, sebuah surau, sebuah kantin dan sebuah bangunan pra sekolah.  

No comments:

Post a Comment